Saturday, June 6, 2009

ADAT PERKAHWINAN KELUARGA SAYA

Saya amat berbangga menjadi rakyat malaysia... ceh wah!... kerana kita masih mengamalkan adat-adat perkahwinan mengikut tradisi dan kaum. Bak kata pepatah "Biar mati anak, jangan mati adat", sungguhpun begitu pepatah tersebut tak relevant pada zaman sekarang, ye lah kan, siapa yang nak anak mati ye tak?

Tapi yang saya rasa amat "kureng" happy sikit, generasi sekarang terlalu inginkan perkahwinan yang terlalu moden, sehingga melupakan adat tradisi lama, contohnya, kain songket dah jarang digunakan oleh pengantin wanita sebab baju pengantin dah banyak pakai kain Lace dan Chiffon. Kalau ada songket pon, ada lah sikit pengantin lelaki pakai buat sampin dan tengkolok, itu pon baju dah pakai baju melayu. Tak boleh nak salahkan pengantin jugak, kalau dah pakai kain songket tengah-tengah hari buta, dah ler panas, miang satu badan pulak tu.

Lagi satu, baju pengantin pompuan pon ada unsur-unsur moden dan dah ke arah "Mat Salleh" sket, al maklumlah, nak pakai gaun kembang-kembang tak kena lah pulak kalau buat kat kampung ye tak? nanti orang kampung kata "over" lah pulak...hee hee...

ADAT PERKAHWINAN MELAYU BUGIS

Walaupun keluarga saya berketurunan melayu bugis, tetapi kami tidak mengamalkannya langsung, kerana masing-masing dah berkahwin campur dengan bangsa dan keturunan lain, malahan kami sendiri tidak tahu bagaimana adat ini di jalankan. Sedih sungguh.... yang saya tahu dari sumber pembacaan pengantin perempuan memakai pakaian adat masyarakat Bugis iaitu "Baju Bodo" dengan kain sarung tenunan. Kalau di Sabah, bangsa Bugis masih mengamalkan lagi adat perkahwinan tradisi, lagi pun tradisi mereka lebih kurang sama juga dengan tradisi melayu yang lain ye tak? (agak nya lah...)

ADAT PERKAHWINAN BANGSA CINA

Berbalik pada adat, sepupu perempuan saya berkahwin dengan lelaki berbangsa cina, namun begitu saya rasa bangga lah jugak, walaupun mereka mengamalkan adat istiadat melayu, di sebelah keluarga cina pulak masih mengamalkan tradisi Minum Teh atau dikenali sebagai "Yum Cha".... nasib baik tak ada "Yum Seng".... wallahualam....

Upacara meminum teh sangat penting dan masih diamalkan. Ia merupakan tradisi masyarakat Cina yang mempunyai maksud yang tersendiri. Adat ini melambangkan penerimaan pasangan pengantin terutamanya si isteri dalam keluarga si suami, tapi sekarang ni tak ramai yang amalkan dah. Yang uniknya, pengantin perempuan sudi memakai Cheong Sam pada majlis tersebut, sungguh majmuk sekali.

Berbalik pada adat, bajet perkahwinan bangsa cina amatlah tinggi belanjanya, kalau kayalah keluarga belah perempuan, lagi sengkeklah lelaki, apa taknya, mereka kira berapa ramai tetamu yang hadir, berapa meja yang akan ditempah dan menu apa yang akan di makan, itu tak termasuk air-air alcohol yang istimewa untuk acara "Yum Seng".

Kalau anda dijemput ke majlis mereka, kalau buat kat hotel-hotel besarlah, kalau setakat nak bagi 10 hengget / RM10 baik tak payah lah, buat malu aje, lagi pon mereka hanya menjemput orang VIP dan orang yang mampu bagi Ang Pow banyak aje, sekurang-kurangnya 100 hengget, tapi kalau buat kat restoren, boleh ler bagi kurang sikit ye tak.


ADAT PERKAHWINAN INDIA

Setakat ini belum ada lagi sedara mara saya yang berkahwin dengan berbangsa india, kalau ada pon mungkin mereka tak akan selitkan unsur-unsur tradisi mereka kan, paling-paling dasyat pengantin akan berposing bergambar ala-ala Bollywood. Kan seronok kalau menu makanan pakai daun pisang aje, jimat tenaga membasuh pinggan dan "Environment friendly" plak tu... Kalau nak tahu, mak saya berpeluang memakai sari semasa membuat photoshoot perkahwinan dia, itu pon pinjam kawan baik dia yang berbangsa India, lawa tau, macam Hema Malini.... jangan marah mak.... hee hee hee


ADAT PERKAHWINAN BARAT

But so far, none of my family members got married with "White" (setakat ni belum ada lagi keluarga saya berkahwinan dengan "omputih") Emmhhh... adat perkahwinan melayu zaman ini sudah dicampur adukkan oleh unsur-unsur barat, hilang sudah tradisi-tradisi lama, acara-acara memotong kek sudah menjadi perkara yang wajib dalam majlis perkahwinan, pengantin pon dah mula memakai pakaian barat seperti "Tuxedo" dan "Dress", yang perempuan pulak dah pakai baju ala-ala corset dan baju labuh meleret-leret, bila ambik gambo rasa macam princess ler pulak kan? Ye lah kan, bila lagi nak pakai macam tu, sekali aje seumur hidup....

Lagi satu, kalau zaman dulu-dulu lepas bersanding, tetamu tak boleh balik lagi, semua orang kena stay back buat "Joget Lambak", Kalau anda perasan kat dalam filem, pengantin omputih mesti menari dahulu, kemudian baru tetamu membuka langkah, pilihan lagu pula mengikut zaman ler..., jangan menari hip hop sudah. Lagi satu, omputih ni tak main pakai lagu dari CD, kalau nak best kena pakai Live Band, baru feeling.... But so far, none of my family members got married with "White"....


ADAT PERKAHWINAN MINANG

Di dalam keluarga saya, adik saya berkahwin dengan orang Negeri Sembilan, tetapi sayangnya mereka tidak mengamalkan adat perkahwinan Minang, saya rasa tak patut adat sebegini di pinggirkan, saya masih ingat lagi, semasa kecik saya pernah menghadiri majlis perkahwinan Minang di mana pengantin perempuan sungguh ayu memakai "head gear" berbentuk tanduk minangkabau. Namun begitu, saya seronok dan enjoy menghadiri perkahwinan adik saya kerana menu pengantin begitu sedap sekali, MASAK LOMAK CILI API DAGING SALAI.... pehh... berpeluh-peluh menahan pedas tu tapi pinggan tetap licin....


ADAT PERKAHWINAN JAWA

Di dalam keluarga saya ada yang berkahwin dengan berbangsa jawa, tapi tak ramai mengamalkan tradisi unik ini, kalau ada pon setakat mencium "Telur Pindang", saya kalau boleh nak tengok lebih banyak lagi acara-acara dalam perkahwinan Jawa, kan best kalau ada persembahan Kuda Kepang dan Barongan, tetamu pulak dihidangkan makanan Jawa/Sunda seperti ayam penyek, pecal lele, ulam-ulaman, tapai dan sup soto. ...fuh! terangkat


Saya ni bukannya arif tentang bab-bab adat istiadat ni, tapi saya amat berminat untuk mendalami dan mengetahui, diharap generasi akan datang perlu lah menyambung dan mewarisi adat-adat sebegini, kalau tidak, "hilanglah melayu di dunia" oh tidaaaaaakkk.....


Selamat datang



Selamat datang ke blog perkahwinan saya, blog ni bukannya semata-mata mengenai perkahwinan saya (saya belum lagi berkahwin semasa blog ini direka), blog ini adalah journal mengenai perjalanan, persiapan dan kisah-kisah perkahwinan di dalam keluarga saya dari warisan Wan Hussin bin Wan Soloh yang berketurunan berdarah Bugis berasal dari Selangor dan Kedah.

Semua orang mengidamkan perkahwinan yang sempurna, tak kiralah grand ke tak grand, yang penting pasangan pengantin selamat diijabkabulkan. Saya pun sejak kecil lagi selalu berangan nak berkahwin macam "Lady Diana", sebabnya saya membesar di dalam era 80an, tapi kalau boleh tak nak lah suami tak hensem macam Prince Charles...hee hee.... Ye lah kan, masa tu mana ada artis tempatan buat "Wedding of the year" macam sekarang ni kan. Kalau tanya bakal-bakal pengantin sekarang masing-masing dah bayangkan nak buat wedding glamour macam Siti Nurhaliza, tak pon nak meriah macam Mawi. Tapi masalahlah kalau kita orang biasa nak buat camtu takde plak orang nak sponsor... sedih...sedih....

Apabila melihat balik gambo gambo lama perkahwinan nenek moyang saya, saya amat mengkagumi keunikan perhiasan pelamin, baju pengantin dan persiapan pada zaman itu. Saya sering bertanya kepada nenek saya Wan Zubaidah atau dikenali sebagai "Ata" (kami tidak menggelarnya "nenek" sebab dia tak suka...hee hee...) mengenai kisah-kisah menarik persiapan perkahwinan di zaman nya. Ata sering mengatakan persiapan zaman dahulu amat menyeronokkan kerana jiran-jiran dan saudara mara ringan tulang membantu baik dari segi hiasan, makanan dan juga sedekah wang ringgit untuk membantu keluarga bakal pengantin, kan best kalau saya dapat jiran camtu? hahaha.... :D

Baiklah, jika anda semua ingin mengetahui dengan lanjut cerita-cerita dan hal-hal perkahwinan di dalam keluarga saya, ikutilah blog saya tanpa jemu...hee hee... mungkin sedikit sebanyak anda akan tahu adat istiadat perkahwinan orang melayu dahulu dan lama.

Wassalam...